Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi Projek Membina Jalan Ke Kg. Seberang La, Hulu Besut, Terengganu (Fasa 2) telah dilaksanakan dengan jayanya pada 9 Oktober 2024 (Rabu) bertempat di tapak projek Jalan Lata Tembakah, Hulu Besut, Terengganu.
Majlis penyerahan projek ini telah disempurnakan dengan simbolik menandatangani dokumen penyerahan projek serta memorandum persefahaman oleh Pegawai Penguasa iaitu YBrs. Ir. Dr. Hasli bin Ibrahim, Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu kepada YBrs. En. Mohd Naim bin Norman, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Prasarana, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) selaku wakil kepada pihak pelanggan bagi projek ini.
Kaedah perlaksanaan projek ini adalah secara konvensional dalaman di bawah Ibu Pejabat JKR Malaysia dan diselia oleh Pasukan Projek Persekutuan Negeri Terengganu, JKR Terengganu. Projek telah berjaya disiapkan lima (5) bulan lebih awal tanpa lanjutan masa iaitu pada 15 Julai 2024 berbanding tarikh siap asal 26 Disember 2024.
Skop utama projek ini melibatkan pembinaan jalan baru sepanjang 3.961 km menggunakan piawaian JKR R2, pembinaan 4 buah jambatan, 2 buah pembentung kekotak, menaik taraf 2 persimpangan sedia ada serta pemasangan lampu jalan jenis led yang baharu dengan kos pembinaan sebanyak RM41.6 juta.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), semua ahli pasukan projek jabatan serta agensi yang terlibat atas usaha gigih dan komitmen dalam menyiapkan projek ini.